Sunday, January 2, 2011

TENTANG MEREKA..



Maafkan cikgu sebab kali ini cikgu hanya ingin bercerita tentang mereka, pelajar-pelajar kelas 1A2, SMK. Sungai Tong, Setiu tahun 2010. Bukan apa, cuma cikgu merasakan mereka benar-benar dekat di hati cikgu. Macam-macam perkara yang cikgu alami bila dekat dengan mereka. Sedaya upaya cikgu berusaha mengajar mereka subjek Bahasa Melayu walaupun opsyen cikgu adalah Sains sebenarnya.

Adakah cikgu masih berpeluang untuk merasai kegembiraan sepertimana cikgu bersama kalian..Wallahualam..Satu pinta cikgu ingat cikgu walau hanya secebis ingatan, walaupun mungkin bila kita bersua nanti kamu malu/ segan untuk menghulurkan salam. Tak mengapa..tak mengapa..Cikgu tidak berkecil hati.

Bermula dengan pelajar perempuan- Ainsya, dia seorang yang kasar tetapi manja. Cikgu selalu tersenyum bila memandang wajahnya seolah-olah tertulis di dahinya 'CIKGU DILLA, SILA SENYUM'..Pernah sekali dia bertanya kenapa cikgu asyik sengih-sengih bila jumpa dia. Lagilah lebar senyuman cikgu buat Ainsya. Cikgu mengambil kesempatan untuk menasihati Ainsya bila kerapkali dia menumpang kereta cikgu untuk pulang ke rumahnya. Cikgu menasihatinya agak tidak berkawan dengan pelajar-pelajar yang rosak akhlaknya dan sentiasa berkelakuan baik. Padahal cikgu tidak tahu bahawa Ainsya pulang ke rumah tanpa kebenaran warden asrama.

Pelajar dengan ranking ke-2 ialah Syahirah. Syahirah merupakan pelajar yang memakai tudung labuh di sekolah itu. Mengikut perhitungan cikgu, cuma 3 orang sahaja pelajar memakai tudung labuh, Syahirah 1A2, Amalina 2A2 dan budak Form 6. Sejuk mata cikgu memandang Syahirah. Kerana cikgu selalu memuji Syahirah, Ainsya dengan nada yang bergurau mengatakan bahawa dia juga akan memakai tudung labuh tahun depan. Kemesraan cikgu dan Syahirah semakin terjalin kerana 2 kali bersama-sama berkelah di Sekayu. Syahirah umpama singa yang sedang tidur. Rasakan natijahnya apabila di ganggu.

Diteruskan dengan ranking ke-1, pelajar lelaki kegemaran cikgu. Tidak lain dan tidak bukan ialah Amiru bin abu Johan. Pastilah ramai pelajar-pelajar lain mencebik. Pada mulanya cikgu juga sama pandangan seperti cikgu-cikgu yang lain tentang pelajar nakal nan seorang ini. Tapi bila cikgu analisis semula, sebenarnya pelajar ini hanya mahu perhatian. Sebab itu bila cikgu memberikan perhatian yang sepenuhnya pada Amiru, bilangan ponteng sekolahnya semakin berkurangan. Sayangnya cadangan cikgu untuk menjadikan Amiru sebagai pengawas sekolah ditolak. Cikgu berpandangan itu mungkin menjadi 'turning point' dalam hidupnya untuk berubah. Cikgu masih teringat pertemuan dengan Amiru di Mydin, senyuman dan kemesraan yang ditunjukkan olehnya seolah-olah dia ingin menjeritkan perkataan 'saya budak yang baik sebenarnya, cikgu'..

Ranking ke-2, jatuh kepada Amiruddin. Pelajar yang duduk belakang sekali dalam kelas. Din ni memang pendiam dalam kelas, kecuali di beri suntikan 'power' baru nak bersuara. Tapi untuk subjek BM memang nampak si Din ni bersungguh-sungguh. Selalu memberi 'response' yang baik untuk soalan yang cikgu tanyakan berbanding pelajar lain. 'Din ni, minat subjek BM ke minat cikgu BM?", tanya cikgu bergurau. Pertanyaan cikgu membuatkan Din malu tersipu-sipu manakala rakan-rakan yang lain tergelak. Kira memang untuk subjek cikgu, cikgu selalu ucapkan tahniah untuk Din. Maaf cikgu tak letak nama Din untuk percalonan pengawas, cikgu tak tahu Din merupakan Ketua Pengawas sekolah rendah dulu. Untuk menjadi pengawas sekolah, Din perlu jadi seorang yang aktif.

Hmm, ikutkan semua pelajar-pelajar kelas 1A2 kegemaran cikgu, tapi tak muat nak tulis untuk semua ( 40 pelajar ). Jangan risau, kenangan dengan semua terpahat kat memori cikgu. Cikgu takkan lupakan korang.